Masalah hipertensi di kalangan rakyat Malaysia yang berusia
melebihi 30 tahun sedang meningkat.
TEKANAN darah adalah daya penolakan darah terhadap dinding salur darah. Jantung mengepam darah ke dalam arteri, yang seterusnya menyampaikan darah ke seluruh bahagian badan manusia.
Maka, tekanan darah tinggi yang dikaitkan dengan hipertensi adalah sangat berbahaya kerana ia membuatkan jantung terpaksa 'bekerja' lebih kuat untuk memompa darah ke seluruh tubuh.
Keadaan ini menyumbang kepada pengerasan arteri atau aterosklerosis dan membawa kepada kegagalan jantung.
Penyakit kardiovaskular masih kekal sebagai pembunuh nombor satu di dunia.
Ia termasuk penyakit arteri koronari dan strok. Mengikut rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira seperlima, atau 1.6 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia disumbangkan oleh penyakit ini.
Di Malaysia, kewujudan masalah hipertensi di kalangan orang dewasa yang berusia melebihi 30 tahun sedang meningkat.
Jika dalam Kaji Selidik Morbiditi Kesihatan Kebangsaan pada tahun 1996 mencatatkan peratusan sebanyak 33 peratus, catatan kaji selidik yang dilakukan pada tahun 2006 pula adalah sebanyak 42 peratus.
"Dalam kita bercakap tentang perkara yang membimbangkan ini, terdapat dua objektif yang dimainkan oleh bidang perubatan. Pertama adalah memanjangkan hayat dan yang kedua mengurangkan simptom," kata Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Datuk Dr. Azhari Rosman.
No comments:
Post a Comment